Isu-Isu dalam Pelaksanaan Inovasi Kurikulum (Bhg. 1)

Terdapat pelbagai cabaran yang terpaksa dihadapi di sekolah bagi pelaksanaan inovasi kurikulum yang berkesan. Latar belakang demografi guru yang berbeza, lokasi sekolah, keupayaan dan kemampuan guru dari segi motivasi, sikap, pengetahuan dan kemahiran menentukan tahap kesediaan guru melaksanakan inovasi itu sendiri.

Motivasi Guru
Motivasi guru merupakan pembolehubah yang menjadi isu penting dalam pelaksanaan inovasi di sekolah. Beberapa kajian telah menunjukkan bahawa motivasi guru mempunyai hubungan yang signifikan dengan tingkahlaku mereka dalam pelaksanaan inovasi dan tugas-tugas guru secara umumnya. Antara lain adalah kajian oleh Hargreaves (1994), Heneman (1998), dan Hurst (1983). Hargreaves (1994) dalam rumusan kajiannya mencadangkan sekiranya guru mempunyai tahap motivasi yang tinggi, hasil kerja mereka akan meningkat, pelaksanaan tugas menjadi cekap dan mereka bertindakbalas secara berkesan dalam melakukan tugas-tugas yang diamanahkan. Sementara itu Jaafar Muhamed dan rakan-rakan (2001) menyatakan motivasi adalah faktor utama untuk menggerakkan seseorang kakitangan untuk melaksanakan dan menyempurnakan tugas dengan berkesan. Kakitangan bermotivasi dikatakan lebih berdaya saing, kreatif, positif, komited terhadap tugas dan menumpukan perhatian terhadap pencapaian matlamat. Selain itu, kakitangan bermotivasi tinggi ada1ah pendorong yang memungkinkan mereka dapat menghasilkan idea bernas dan sentiasa bersedia membantu organisasi mereka, Persoalannya, adakah guru-guru mempunyai tahap motivasi yang membanggakan? Pandangan umum memperihalkan kebanyakan guru berasa kurang selesa terhadap pengenalan sesuatu inovasi di sekolah kerana bimbang bahawa perubahan itu akan mengganggu keselesaan dan menjejaskan tugas serta peranan mereka samaada secara langsung atau tidak langsung terutama berkaitan proses pengajaran dan pembelajaran. Menurut McCormick dan James (1983), pertambahan tugas guru ekoran pengenalan sesuatu inovasi akan membangkitkan tekanan emosi di kalangan guru. Gangguan emosi dan tahap tekanan yang tinggi di sebabkan ketidakupayaan mereka untuk berdaya tindak ke atas perkara tersebut. Beliau berpendapat sekiranya tekanan berlaku secara berterusan, motivasi kerja guru terjejas dan kemungkinan hubungan guru dengan murid dan sesama guru akan menjadi renggang, Ini mungkin menjejaskan tahap perkembangan diri guru itu dan keberkesanan guru dalam melaksanakan tugas. Di samping itu, Klein (1976) berpandangan guru yang rendah tahap motivasinya akan menentang sesuatu inovasi disebabkan perasaan rendah diri dan rasa tersisih di sekolah, Keadaan sedemikian antara lain berpunca daripada sikap pihak pentadbir sekolah sendiri yang seringkali mengabaikan mereka dan tidak pernah meminta pandangan guru berkaitan pelaksanaan sesuatu inovasi. Dalam erti kata lain, bagi memastikan pelaksanaan inovasi yang berkesan, motivasi dikatakan sebagai “pusat kawalan” kepada emosi dan dorongan seseorang guru untuk melaksanakannya dengan bersungguh-sungguh. Tahap motivasi guru mempengaruhi ketekunan dan komitmen mereka dan menentukan kebolehan guru untuk menyumbang secara berkesan dalam pelaksanaan inovasi.

One Response to Isu-Isu dalam Pelaksanaan Inovasi Kurikulum (Bhg. 1)

  1. mfariz says:

    Salam, pada sesiapa yg memerlukan rujukan lengkap, sila tinggalakn pesanan dalam ruangan komen😉

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: