Dari Mana Datangnya Jawi?

Hubungan antara bangsa Arab dengan umat Melayu telah bermula sejak sebelum kedatangan Islam lagi menerusi aktiviti perdagangan. Sesudah Islam menjadi agama pegangan orang Melayu, hubungan itu menjadi semakin erat. Orang Arab yang datang bermukim di Alam Melayu bertambah ramai. Setengahnya datang untuk berniaga manakala yang lain untuk berdakwah. Demikian juga orang Melayu yang pergi ke
Tanah Arab; kebanyakan mereka bertujuan untuk mengaji agama (Hamdan 1999: 1).
Tulisan Melayu huruf Arab atau sekarang ini dikenal dengan nama tulisan Jawi, seperti yang telah disebutkan sebelum ini, telah digunakan sejak kedatangan Islam. Nama “Jawi” itu berasal daripada kata nama bahasa Arab “Jawah” Apabila dijadikan kata kata adjektif “Jawah” menjadi “Jawi”. Perkataan “Jawah” atau “Jawi itu besar berkemungkinan besar berasal daripada perkataan “Javadwipa”, iaitu nama bagi daerah Asia Tenggara pada zaman purba. Buktinya Ibnu Battutah dalam bukunya al-Rihlah menggelar nama Sumatera sebagai al-Jawah. Bagi orang Arab bahagian kata “Java” sahaja yang diambil, sedangkan “dwipanya” ditinggalkan. Kata “Jawa” ini digunakan untuk merujuk ke seluruh daerah Asia Tenggara. Penduduknya juga dinamakan denagn menggunakan kata itu juga, atau dalam bentuk kata adjektifnya menjadi “Jawi”. Oleh itu, kata Jawah atau Jawi merujuk kepada semua bangsa dan kaum yang menjadi peribumi di Asia Tenggara; bukan hanya kepada orang Jawa; iaitu penduduk yang berasal dari Pulau Jawa. Jawah atau Jawi merujuk kepada seluruh rumpun bangsa Melayu, Campa, Patani, Aceh, Jawa, Minangkabau, Mandailing, Sunda, Bugis, Banjar, Lombok, Filipino mahupun yang lain. Oleh sebab inilah, maka para ulama dari Asia Tenggara sering membubuh nama al-Jawi sebagai laqab, pada hujung nama mereka sekalipun mereka terdiri daripada suku bangsa berlainan seperti Syeikh Abdul Rauf al-Fansuri al-Jawi, Syeikh Abdul Samad al-Falimbani al-Jawi, Syeikh Daud al- Fatani al-Jawi dan lain-lain. Selain itu, kata Jawi digunakan juga untuk ungkapanungkapan seperti bahasa Jawi, masuk Jawi dan bangsa Jawi. Sampai kini orang-orang Vietnam menamakan orang di Kepulauan Nusantara sebagai orang Jawa (Amat Juhari Moin 1996: 17). Istilah “tulisan Jawi” hanya dikenal di Malaysia, Singapura, Thailand Selatan dan Negara Brunei Darussalam. Di Indonesia tulisan ini terkenal dengan nama “tulisan Melayu Huruf Arab” atau “tulisan Melayu Arab”. Penggunaan jawi (atau apa sahaja istilah yang semakna dengannya) digunakan di banyak tempat di Asia Tenggara. Tulisan Jawi bukan hanya digunakan oleh orang Melayu untuk bahasa Melayu tetapi juga oleh suku-suku bangsa Melayu yang lain. Antara suku bangsa Melayu yang emnggunakannya ialah Campa di Indo-China, Patani di selatan Thailand, Jawa, Banjar, Bugis, Aceh, Minangkabau, Bengkulu dan juga lain-lain. Bagi tulisan Jawa yang menggunakan huruf Arab dikenal dengan nama atau tulisan Pegon, yang sekarang ini masih dipakai atau digunakan untuk menulis kitab-kitab terutama yang digunakan di pesantren-pesantren di Jawa. Contohnya ialah kitab Tafsir al-Ibriz dan al-Munjiyat bahasa Jawa (Amat Juhari Moain 1996: 18).

Rujukan.
Amat Juhari Moain. (1992). Sejarah Tulisan Jawi. Jurnal Bahasa 35 (11): 101 1012.
Hamdan Abdul Rahman.(1999). Panduan Menulis dan Mengeja Jawi.Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: